Kita berkongsi, kerana di akhirnya semuanya bernilai di sisi Tuhan.

Moga tidak terlalu mengarut.



Tuesday, 25 August 2020

Cara Hudud Meletak Batas Pada Kelakuan Manusia

 Terlalu ramai yang menyalah erti makna hudud, dan terlalu ramai pula yang takut dengan kewujudan syariat Allah yang satu ini. Adakah ianya terlalu sukar untuk difahami dan terlalu keras dalam pensyariatan?

 

Sebelum mengenali hudud, kita harus kenal manusia. Bukan kenal diri sendiri, namun manusia secara keseluruhan. Ada apa dengan manusia sehingga memerlukan satu garis khusus dan tegas untuk menjadi batas terhadap kelakuan mereka?

 

Manusia, nalurinya adalah memahukan lebih dari apa yang mereka ada. Mencabar sedikit lagi melebihi cabaran mereka yang sebelumnya. Manusia itu apabila telah melakukan satu dosa, ia akan selesa dengan perlakuannya dan mahu meregangkan cakup dosanya lebih sedikit dari apa yang telah dilakukannya.

 

Dosa, adalah privasi. Cukup sekadar nafsi. Dalam keterbukaan kesederhanaan manusia dalam berkomunikasi antara masyarakat, mereka harus sentiasa sedar bahawa sekerap atau semanis mana pun dosa itu, ia tidak harus dikongsi dan diiklankan.

 

Soalnya, adakah manusia akan mengikut undang-undang tanpa tulis ini? Adakah dengan kesedaran dan takat ilmu yang manusia ada, mereka akan berasa cukup melakukannya sendiri? Di manakah garis mati dalam berkongsi maklumat atau berbicara hikmah dan pengajaran dalam perbahasan berkenaan dosa dan maksiat?

 

Di sini hudud datang sebagai garis panduan.

 

Kita ambil contoh, zina. Manusia terlalu obses dalam mengkritik kewujudan pensyariatan yang satu ini. Seperti Tuhan menyekat kebebasan mereka melakukan hubungan intim, sedang hakikatnya, Allah sedang membebaskan manusia untuk memiliki anak-anak tanpa perlu bimbang mereka diambil tanpa izin.

 

Bagaimana hukuman sebat dan rejam ini dijatuhkan? Adakah setiap kelakuan zina layak disebat atau direjam sampai mati?

 

Kelayakan yang pertama, adalah dengan pengakuan. Dosa besar yang ditadah, pada detik yang paling pertama ia dilakukan, adalah fitrahnya yang mahu taat dengan perintah Tuhan. Tidak ada dosa besar yang berlaku tanpa di detik pertama rasa bergetar dengan salah.

 

Kisah yang paling masyhur adalah dalam satu-satunya sirah Nabi yang bercerita tentang peristiwa zina. Ketika seorang pemuda datang kepada baginda dan mengaku telah melakukan hubungan intim tanpa akad yang menghalalkan, Nabi membalas diam lalu memalingkan muka sebanyak dua kali.

 

Kali yang ketiga ketika pengakuan dibuat, barulah baginda mendengar dengan teliti. Kerana tolak ansur tidak boleh lagi menjadi perantara dalam pengakuan, jika pesalah sendiri mahu hukuman yang sesuai dijatuhkan demi membasuh dosa yang menjadi kesalahannya.

 

Kerana pesalah itu selepas dihukum sesuai dengan kesalahannya mengikut bicara mahkamah semasa, ianya kembali menjadi manusia yang bebas dosa. Kerana berani menanggung akibat di sisi undang-undang Tuhan dan menanggung malu menghadapi egonya sendiri.

 

Pengakuan ini melayakkan pesalah zina dalam menghadapi hukuman sebat atau rejam dengan memenuhi syarat yang telah digariskan. 5 syarat mapan iaitu: berakal dan baligh, tiada paksaan zina, mengaku dengan lidah, mengaku sebanyak 4 kali, mengaku di hadapan hakim.

 

Kelayakan kedua, dengan kekuatan pengakuan saksi, bersyaratkan 7 noktah: baligh dan berakal, Islam, sempurna pancainderanya, adil, lelaki, tiada manfaat jika dia menjadi saksi, dan cukup 4 orang yang datang memberi penyaksian.

 

Fikirkan di kelayakan yang pertama, tanpa pengakuan pesalah, hukuman sebat atau rejam tidak akan dijatuhkan. Bahkan, taubat selalu menjadi nasihat pertama terhadap pesalah zina dari membuat pengakuan rela kepada mahkamah semasa.

 

Fikirkan pula pada kelayakan yang kedua iaitu dengan pengakuan dari saksi. Katakan, bagaimana harus 4 orang manusia melihat perlakuan zina yang sedang dilakukan oleh dua orang manusia? Bagaimana harus empat orang menyaksikan satu kelakuan yang intim, yang selalunya harus berlaku di dalam privasi rumah masing-masing?

 

Adakah saksi harus masuk ke rumah mereka? Jika mereka melakukan itu maka mereka tidak adil, bahkan tidak berakal dalam mengetahui soal perbatasan privasi dalam rumah kediaman. Adakah saksi harus melihat lelaki perempuan masuk kedalam rumah? Jika begitu ia bukan zina, sedangkan zina adalah persetubuhan.

 

Apa yang penzina harus lakukan untuk memenuhi syarat saksi adalah, mereka harus melakukan perlakuan tersebut di tempat awam yang menjadi tumpuan orang ramai. Kerana 4 saksi tidak akan terjatuh nilai adil, nilai akal, dan nilai keraguan jika ianya berlaku di tempat yang menarik perhaian manusia sekeliling tanpa menjolok ruang peribadi sendiri.

 

Inilah yang sedang hudud jagakan.

 

Sejarah yang panjang membawakan kita terus kepada budaya hubungan persetubuhan terbuka yang pernah berlaku di tamadun terdahulu. Ianya membunuh terus rasa malu dan menginspirasikan generasi seterusnya untuk mengekalkan budaya tersebut. Sehingga hari ini, beberapa negara seakan tidak menghayati makna eksklusif dan peribadi dalam sesuatu hubungan.

 

Lihatkan sejarah kuno di Pompei, Itali. Atau Lukisan popular oleh Leonardo da Vinci dan Michalengelo. Bahkan penemuan-penemuan sejarah yang dianggap suci oleh ahli arkeologi berkenaan potret-potret yang mengangkat hubungan intim yang sepatutnya peribadi menjadi terbuka dan harus dikongsikan kepada dunia.

 

Hudud menghalang budaya ini melanggar batas masyarakat. Kerana masyarakat, atau dalam erti kata yang lebih utama, setiap individu yang mahu, berhak untuk menjaga malunya untuk disimpan dan menterjemahkan hubungan sebagai satu ikatan privasi yang bersifat peribadi. Dia layak untuk tidak mahu mengambil tahu tentang hubungan intim orang lain, dan dia layak untuk menjaga hubungannya dengan pasangan sendiri.

 

Bayangkan, jika sampai satu masanya nanti, kita adalah manusia yang hanya pandai soal agama, namun tidak mahu hidup di dalamnya. Kita adalah manusia yang mengenal Tuhan, namun tidak mahu bertuhankan Tuhan yang kita kenal. Kita adalah manusia yang mengenal angkuh, namun memilih terus mencabar kuasa Allah. Bayangkan.

 

Tuhan meletak satu batas. Dan syaratnya adalah syarat yang terperinci dan tegas untuk menghormati setiap privasi individu. Kerana dosa, biasrlah Tuhan sahaja yang tahu, yanpa perlu dibukan ditunjukkan kepada sesiapa. Syariat yang paling utama ketika bapa kita, Nabi Adam alaihisSalam diletakkan di dunia adalah taubat.

 

Dan syariat itu tidak pernah digugurkan sejak ianya disyariatkan kepada alam.

 

Taubatlah. Tidak ada bahagia yang lebih memberi erti pada kita selain punya jalan pulang untuk kembali taat pada Tuhan. Dan tunduklah pada syariat hudud. Kerana kita harus hidup dalam kekitaan yang menjaga kebaikan dan kebajikan manusia yang hidup dalam komuniti kita sendiri.

 

Usah menikus di lapangan yang bertemu banyak cara fikir.


Terima kasih kerana membaca.

No comments:

Post a Comment

Drops your comment here ~

Suka untuk aku tekankan, komen hendaklah yang membina dan perlu menggunakan bahasa yang baik. Terima kasih atas kerjasama dan sokongan anda!