Kita berkongsi, kerana di akhirnya semuanya bernilai di sisi Tuhan.

Moga tidak terlalu mengarut.



Sunday, 16 August 2020

Tuhan Mengajarkan Kasih


Kakinya melangkah laju menuju ke pagar sekolah. Jam di tangan dibetulkan untuk menyempurnakan gimik bahawa dia sedang berusaha cepat meninggalkan asrama. Hidungnya dikerutkan apabila melihat Alia menunggu di pagar sekolah. Jengkel.

 

 

Dia langsung tidak memberi muka kepada Alia, pengawas yang bertugas. Baju biru yang sama dipakai oleh mereka berdua tidak meloloskan dia dari dikenakan tindakan disiplin. Matanya diputarkan ke atas apabila melihat Imran tersengih jahat melihatnya.

 

 

“Loceng sudah lama berdering,” kata Izzati sebaik sahaja dia duduk di kerusinya. Dia menarik senyum nipis, membalas tanpa suara. Malas memanjangkan perbualan basa basi yang bakal membuang masanya.

 

 

Mereka belajar seperti biasa. Bosan, mendatar, dan memeningkan kepala jika dia cuba memberi perhatian yang lebih dari kebiasaan. Maka dia cuba untuk hidup separa sedar di sepanjang kelas dan pengajaran gurunya untuk tidak terus terlelap tanpa dia sedar.

 

 

Loceng rehat yang ditunggu-tunggu berdering di pertengahan dia terhantukkan muka ke atas meja yang sedia menadah. Matanya dikelip-kelip sambil suaranya lantang mengucap terima kasih kepada guru yang sedang mahu keluar dari kelas. Gurunya itu tidak menyembunyikan geleng kepala apabila melihat pelajar-pelajarnya yang terlebih aktif apabila kelas berakhir.

 

 

“Tolong belikan,” dia menghulur wang kepada salah seorang kawan, yang sedang mencapai wang kertas dari rakan-rakan lain. Rutin mereka yang tidak tahu sejak bila ianya bermula, mereka akan menghulur wang kepada salah seorang rakan untuk membeli untuk beberapa orang.

 

Hanya tolak ansur yang menjadi disiplin mereka. Tanpa jadual bertulis, ianya mudah untuk mengambil kesempatan kepada orang yang lebih lemah, namun ianya satu kemahiran untuk menjadi berani supaya tidak terus diambil kesempatan, menjadi baik dengan menasihati rakan yang suka memijak, dan melatih kemahiran bekerjasama dalam ruang sosial semasa.

 

 

Dia tersangat bangga dengan sekolah dan komuniti yang mengajarkan kemahiran kehidupan yang dia percaya sangat perlu untuk dia terus hidup dengan baik selepas tamat persekolahan. Melihatkan Syuhada mendapat banyak wang kertas, dia menarik balik duit yang dihulurkan.

 

 

“Tak apelah. Aku ikut sekali. Kau beli apa? Nasi lemak? Biar aku beli kuewtiaw sup,” dia cepat membuat keputusan sebelum perbahasan panjang berlaku. Perempuan, terutamanya kawan perempuannya, apabila keputusan tidak diberikan secara jelas, perbahasan mereka bakal memanjang walaupun hanya berbicara seputar memilih air masak atau air teh.

 

 

Dia, Syuhada, dan Aina bingkas menuju ke arah kantin. Kantin yang kecil membuatkan barisan pelajar yang beratur memanjang ke belakang. Mereka masuk ke dalam barisan sambil berbual berkenaan topik pelajaran sebentar tadi.

 

 

Sudah empat tahun dia di sekolah ini, dia masih tertanya-tanya soalan yang sama kenapa ketika guru mengajar dia letih dan apabila kelas susah selesai, dia terlalu banyak persoalan untuk ditanyakan kepada gurunya. Apabila esok datang, dia bakal lupa segala soalan yang ingin ditanyakan.

 

 

Selepas selesai membeli, mereka kembali ke kelas dan makan beramai-ramai. Topik yang hangat berpindah dari mulut ke mulut membuatkan dia pening. Dia hanya tersengih dan melontarkan jawapan yang sekadarnya apabila ditarik dalam perbualan.

 

 

Seperti biasa, dia yang paling awal menghabiskan makanannya. Dia bergerak ke bilik air yang terletak di hujung koridor kelasnya untuk membasuh tangan dan membetulkan tudungnya yang sudah senget. Di cermin, wajahnya yang suram dan sombong menyapanya dengan angkuh. Dia senyum tanpa emosi, hanya untuk meletak riak di muka.

 

 

Hampa.

 

 

Selama-lamnya dia harus hidup memakai wajah yang terlihat bongkak mencium langit. Sekurang-kurangnya, dia dikelilingi rakan yang cukup baik untuk mengenalinya melangkaui sikap dan riak wajahnya yang selalu cemberut tanpa sebab. Maka, riak wajahnya yang tidak ramah tidak terlalu membebankan.

 

 

Entah manusia yang bagaimana bakal dia jumpa di luar kawasan sekolah yang menjaga dan memberi rasa selamat yang tidak berpenghujung, dia bertanya diri sendiri. Sesudah segalanya sudah tamat, selepas rakan-rakan dan guru-gurunya sudah habis mencurah bakti, entah siapa yang bakal bertolak ansur pula dengan dia.

 

 

Apabila dia keluar dari bilik air, telinganya menangkap satu suara yang asing dan meragukan. Jantungnya melompat senada lebih tinggi, menakutkan dia tanpa sebab dan menariknya untuk mendekat ke arah suara yang aneh. Dia bergerak ke belakang bilik air, melalui dahan-dahan pokok yang menghalangnya untuk lebih laju dalam pergerakan.

 

 

“Weh,” dia memanggil satu susuk yang duduk bersandarkan dinding dengan dua tapak tangan yang ditekupkan ke muka. Tanpa keberanian luar biasa, dia memanggil rakannya itu kerana dia sudah tahu setiap gerak dan setiap jenis kasut yang dipakai oleh rakan-rakannya.

 

 

Jika dia tidak tahu, dia bersedia mengundurkan diri tanpa apa-apa komunikasi dengan makhluk yang entahkan wujud entahkan tidak di perbatasan alam. Almaklumlah, di balik hutan di belakang sekolahnya, adalah tanah perkuburan. Dia sendiri tidak berani melebih-lebih mengganggu privasi makhluk lain.

 

 

“Buat apa?” dia bertanya sambil keningnya diangkat sebelah, untuk menekan persoalan yang serius apabila rakannya itu sangat terkejut melihatnya di belakang bangunan sekolah. “Kau… apa yang kau pegang tu?” dia menambah dengan kening yang masih diangkat.

 

Key menyembunyikan di belakang badannya, tidak membenarkan dia melihat rahsianya. Dia hanya menunggu tanpa kata, kerana apabila orang ingin melawan masa dengannya, dia akan menang di mana-mana pertandingan. Kuasa terbaiknya dalam enam belas tahun dia hidup, adalah menanti dalam diam dan memerhati.

 

 

Dia belum lagi kalah apabila menggunakan jurus yang diajarkan oleh ayahnya sejak dia kecil menimang buku cerita yang terlalu tebal untuk dihabiskan baca. ‘Hasil itu perlu waktu, engkau harus mahu menjadi sabar dan tenang dalam mendapatkannya’. Entah kenapa apabila diulang ayat tersebut ia berbunyi bahasa baku.

 

 

Dia percaya ayahnya menggunakan bahasa yang tidak terlalu bermutu namun berjaya membina cara fikirnya hari ini. Maka dia tunggu tanpa kata, meneliti setiap garis takut yang menghiasi wajah rakannya itu. Dia tidak mahu memikirkan yang buruk, dia hanya mahu bersedia menyambut jawapan rakannya dengan tenang.

 

 

Kerana tenang itu bakal memenangkan kedua-dua belah pihak.

 

 

“Gam…,” Key menjawab akhirnya, dengan suara yang serak dan perlahan. Dia mengelipkan mata tiga kali mendengarkan jawapan rakannya itu. “Kau jangan beritahu cikgu, weh,” dia menambah dengan nada merayu yang memecahkan sekeping hatinya. Manusia apa yang perlu merayu kepada rakannya di belakang bangunan sekolah?

 

 

“Lama dah ke kau hisap gam?” dia bertanya. Semoga santai nadanya, namun fikirannya kosong tanpa arah dan keputusan terhadap situasi yang dihadapi sekarang. Dia terlalu kecil untuk memberi nasihat kepada seorang yang mengalami masalah hidup sehingga berpaling ke arah khayal dan mabuk.

 

 

“Dalam empat tahun, tapi… tapi aku hisap sekali sekala je, weh. Tak selalu pun. Kalau… kalau aku erm… betul-betul menggeletar je,” dia menjawab dengan nada yang khuatir dan bimbang.

 

 

“Kau tak cuba pergi ke guru kaunseling? Rehab?” dia bertanya, tahu soalannya agak menghunus dan tidak membantu, namun dia harus terus mengalirkan perbualan mereka supaya tidak kelihatan kaku. Perkara terakhir yang dia perlukan adalah mempunyai rakan yang menjauh sedangkan mereka perlukan bantuan.

 

 

“Aku takut. Aku… nanti mereka hantar ke pusat pemulihan. Aku tak nak. Aku dengar… aku dengar orang-orang sana banyak kaki pukul. Perempuan pun sama je macam lelaki, kaki pukul juga. Lepas tu aku dengar… kalau masih dara… mereka akan cuba… aku tak nak…,” Key menggeleng kepala dengan laju.

 

 

Menakutkan. Dia terlalu dungu untuk memahami apa yang diucapkan oleh Key, namun dia tahu ianya sesuatu yang menakutkan. Fikirannya yang kosong sebentar tadi, kini tidak langsung memberi apa-apa suara mengisyaratkan kewujudannya selari kewujudan dirinya di dunia.

 

 

Dia dungu. Dia akan selalu pegang kata-kata ini di empat puluh tahun akan datang sepanjang perjalanan dia hidup. Kerana di situ, di ketika dia berdiri dan memandang rakannya yang seakan mahu melutut dan merayu belasnya di tanah supaya kekal hidup menutup rahsianya, dia menjawab mudah dan lancar, “Oh. Okey. Cubalah berhenti. Perlahan-lahan,”

 

 

Lalu dia pergi meninggalkan Key tanpa menoleh ke belakang.

 

 


 

 

 

Ketika dia membuka satu tafsir Al-Quran dan menghayati makna basmalah, enam atau tujuh tahun kemudian, dia menahan sebak mengingatkan satu kenangan yang selalu datang menyinggah. Tentang kegagalannya membantu seorang manusia, rakan, yang baik dan bijak, yang ramah dan selalu girang apabila bertemu.

 

 

Mereka tidak langsung kembali menghadapi perbualan yang sama, dia sendiri berkelakuan seperti tidak ada apa yang berubah. Key sedikit bimbang apabila dia berdekatan, terutamanya apabila dia suka memainkan violinnya di bilik asrama mereka sepanjang peperiksaan SPM dijalankan.

 

 

Itu adalah meditasinya.

 

 

Key, dan beberapa rakan sekelasnya, bimbang dengan pandangannya berkenaan alat muzik bertali. Mereka cuba menjauhkan diri darinya kerana entah kenapa, pembawakan personalitinya kelihatan tradisional dan kaku dalam memahami realiti masyarakat semasa. Dia langsung berkerut memandang cara pandang mereka.

 

 

Dengan kagum, dia mendekati dan meminta Key untuk memainkan sebuah lagu yang pendek dan ringkas. Dia langsung cemburu dengan tangan yang mempunyai bakat begitu. Sejak awal lagi, tangannya hanya peduli untuk menggerakkan buah catur. Tidak ada sesiapa yang mahu melihat perlawanannya di peringkat daerah atau perlawanan bersama-sama guru.

 

 

Key membuka sedikit peluang untuk mereka kembali membina hubungan yang entah bila terputus. Dia tidak perlu berasa malu. Kerana jika semua orang mampu melihat jauh di dasar hatinya, mereka tidak akan mahu mendekat bahkan mengeji kewujudannya di sekolah mereka.

 

 

Basmalah, dalam tafsir di dua tangannya, menerangkan dengan teliti dan mendalam tentang Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Satu lafaz yang menaikkan dua nama Tuhan. Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dua nama, dari 99 nama Allah, dua yang menjadi pihan sebagai lafaz lazim seorang muslim di sepanjang hidupnya.

 

 

Menunjukkan satu sebab, bahawa berapa banyak pun personaliti yang menjadi karakter kita, dua personaliti ini harus mendominasi.

 

 

Allah, Tuhan yang mengajarkan alam, mengajarkan kita bahawa apapun situasi, apapun realitinya, dua sikap ini harus menjadi lapis pertama yang mengenalkan kita dengan manusia lain. Jika kita perlu memilih, kita harus memilih untuk menjadi baik dan memahami. Dan cuba melalui semuanya di garis panduan kehidupan yang Al-Quran bentangkan.

 

 

Selama-lamanya dia mencengkam hati, mengingatkan kelakuan dungunya dahulu adalah perbuatan terbaik si waktu itu, di situasi itu, dengan ilmu yang begitu. Selama-lamanya dia memandang langit, dan berterima kaish, mengingatkan dia memilih baik dan memahami melangkaui sikap keras dan tegasnya yang selalu menemankan.

 

 

Selamanya.

 

 

Terima kasih kerana membaca.

No comments:

Post a Comment

Drops your comment here ~

Suka untuk aku tekankan, komen hendaklah yang membina dan perlu menggunakan bahasa yang baik. Terima kasih atas kerjasama dan sokongan anda!