Kita berkongsi, kerana di akhirnya semuanya bernilai di sisi Tuhan.

Moga tidak terlalu mengarut.



Sunday, 28 April 2019

Mencari semangat di balik beban.


Aku perhati tajuk buku yang bersusun di rak kedai buku. Sambil menimbang dan mengira kekosongan waktu yang aku ada sehari-hari. Terlalu banyak buku yang mahu dibaca, terlalu sedikit masa yang ada.

Satu perkara yang paling aku suka, apabila dikelilingi buku begini, sekeping hati yang pudar kembali mendapat warna. Cerita-cerita yang tak mungkin kita jumpa di dunia, boleh kita teroka. Membaca selalu membawa kita pada dunia yang terlihat asing, namun tersangat dekat dengan masyarakat.

Dalam sibuk mata melihat-pandang, hati berbisik selalu. Baru beberapa bulan mengajar, sudah terasa kontang semangat untuk meneruskan. Kerana seorang. Hanya seorang pelajar yang membekas marah yang berlanjutan. Terfikir namanya pun sudah mahu menangisi takdir.

Haha.

Kita selalu mahu kuat. Tapi sejauh mana kita ada kekuatan untuk kekal dan semangat? Macam nak lari. Tapi apa nilai anak muda, jika selalu lari dari kekusutan? Apa nilai pejuang, jika membelakangkan perjuangan? Kita yang selalu nasihatkan rakan supaya bertahan. Apabila sendiri yang dibeban ujian?

Malulah.

Cakap sampai bergegar tanah yang menompang jasad. Baca sampai terlihat utuh ilmu pengetahuan. Tapi Allah jentik sikit, dah sakit. Tak apalah kalau sakit, tapi takkan terus nak berhenti? Di mana praktikalnya? Segala ilmu yang ditimba, segala pengalaman yang dikaut, takkan apabila berada di lapangan terus menikus.

Apakah itu nilai kau sebagai manusia?

Jadi aku berdiri di sini untuk mencari beberapa buah buku. Kononnya mahu membakar semangat mengajar yang tulus. Tapi masih terfikir di mana semangat itu berada sebenarnya? Adakah dalam buku yang diam tak menjawab soalan aku, atau dalam memori yang terkambus dek waktu?

Tapi, jiwa manusia itu terbentuk pada buku yang dibacanya. Eh, bukankah cara fikirnya? Sekejap. Pembacaan membentuk cara fikir, bukan? Dalam perdebatan akal yang tidak ada kata putus, aku kekal berjalan perlahan-lahan di balik rak-rak buku yang menenangkan. Dan mungkin terjumpa sedikit jawapan, walau tidak banyak.

Wajah-wajah para ilmuwan. Nama para nabi dan sahabat. Kata-kata hikmah yang mengangkat semangat.

Aku terbeban dengan kehidupan sehingga tidak menikmati Ma’thurat. Terbeban sehingga tidak menyedari nama para nabi yang dinyanyikan setiap hari. Terbeban sehingga tidak tersentuh dengan sirah sahabat yang aku ajarkan. Terbeban.

Sedang ianya bukan beban.

Ianya ajaran yang aku mahu ajarkan pada mereka supaya kenal Pencipta dan ciptaan-Nya. Sudahlah, jiwa. Tidak ada keluh yang Allah tidak nampak. Sejauh mana mahu kau bawa sakit hati seorang guru kepada pelajarnya? Di mana kau hari ini jika guru-gurumu yang dulu mencerap sakit dalam jiwa berlama-lama?

Moga tabah itu datang, walau payah.

Terima kasih kerana membaca.



No comments:

Post a Comment

Drops your comment here ~

Suka untuk aku tekankan, komen hendaklah yang membina dan perlu menggunakan bahasa yang baik. Terima kasih atas kerjasama dan sokongan anda!