Di mindanya berdiri satu sosok sahabat yang selalu memberi erti. Tanpa alasan beliau memberi inspirasi untuk terus menapak selangkah demi selangkah walau kaki yang memijak sedang memberat tidak mahu berganjak. Entah apa kekuatannya, beliau tidak perlu berucap panjang. Cukup beberapa patah kata yang santai.
Ketika satu demi satu memori dibuka
dari lipatan-lipatan yang bersepah tidak bersusun, dia menemukan satu jiwa yang
terasing. Dipulaukan kerana angkuh dan mewah dengan ketegasan yang keterlaluan.
Jiwa itu lebih selesa berdiri di atas cara fikirnya sendiri dan membelakangkan
keperluan menghayati realiti komuniti sekeliling.
Tahun yang berganti menemukan dia
dengan beliau. Dua cara fikir, mencucuk langit dan membenam tanah. Dua jiwa ini
mampu bertemu di permukaan bumi yang retak dan tidak rata, namun cukup setia
untuk sentiasa mendengarkan cara fikir dan melihat cara pandang antara satu
sama lain.
Beliau mengajar jiwa angkuh itu
untuk selalu mahu berdiri dan berbakti. Bukan kerana keperluan semasa atau
kehendak sesiapa, namun merelakan diri sendiri untuk memberi sekelumit
kemahiran yang dikurniakan oleh Tuhan kepada setiap makhluk-Nya. Setiap jiwa yang
hidup harus punya rasa tanggungjawab untuk berkongsi.
Untuk apa?
Terlihat tidak munasabah untuk
memberi sesuatu tanpa perlu. Bukankah setiap manusia punya kudratnya sendiri
untuk melakukan setiap tugasan yang diberikan? Ada apa dengan beban yang perlu
dikongsi oleh dua atau tiga bahu sedangkan nama yang bakal dijulang di dulang organisasi
cuma satu?
Jiwanya tidak berkarat. Bukan. Dia
hanya jiwa yang tidak mengerti tentang kemanusiaan. Pembacaannya luas, namun ia
tidak meluaskan kefahamannya tentang emosi. Pada pendapatnya yang praktikal,
kita hidup untuk kita. Makna kekitaan itu sendiri adalah individu tanpa membawa
masuk sahabat dan masyarakat.
Sosok itu mengajarkan satu hikmah
yang terus menerus memberi pelajaran. Di roda hidup, kebaikan beliau selalu melantun
menemukannya kembali. Dengan memberi erti, beliau sendiri mengerti lebih mudah
akan setiap pengajian yang dibentangkan Tuhan. Cabaran beliau lebih sulit, namun
kekuatan yang menapak semakin membukit.
Waktu dan tanggungjawab akan
memisahkan manusia. Usai memenuhi takdir bersama-sama, jiwa-jiwa ini harus
berjalan di jalannya sendiri. Di persimpangan yang semakin menjauhkan dua jiwa,
beliau tidak pernah dia rasakan jauh tak tercapaikan. Kerana kebaikan-kebaikan
yang sudah pun terlupakan, masih terlekat kesan kebaikan yang tak tersapu oleh
waktu.
Mungkin cara fikir itu salah juga.
Mungkin benar beliau tidak tercapaikan tangan atau membalas kata di depan mata.
Bahkan selalu pula jiwa itu tercari-cari kenangan yang semakin memudar kerana
usia yang kejam mebunuh memori-memori yang pernah mengairi jiwa gersangnya.
Namun beliau dekat. Entah. Beliau dekat di hati, noktah.
Sahabat itu tidak lenyap di makan
waktu atau jarak. Yang hilang dan semakin hilang adalah jiwa yang polos dan
hingusan lalu berganti jiwa yang lebih matang dari semalam. Apabila nanti dua
jiwa itu bertemu, harus segera memperkenalkan kembali diri dan identiti baru
yang lebih tajam dan tegas.
Terima kasih kerana membaca.

No comments:
Post a Comment
Drops your comment here ~
Suka untuk aku tekankan, komen hendaklah yang membina dan perlu menggunakan bahasa yang baik. Terima kasih atas kerjasama dan sokongan anda!