Kita berkongsi, kerana di akhirnya semuanya bernilai di sisi Tuhan.

Moga tidak terlalu mengarut.



Thursday, 17 September 2020

Menyukat Kemuliaan Akal

Akal bukan yang pertama menjadi syarat kemuliaan makhluk. Ianya bukan satu syarat sah mulia kerana akal meninggikan keangkuhan Iblis ketika dia melawan Tuhan untuk tunduk pada satu ciptaan yang direka khas dari lumpur, sedang dia adalah api. Ilmunya tegas meningkah bahawa dia lebih tinggi, lebih layak diangkat.

 

 

Kita bentangkan sifat manusia yang paling teras, berdiri di tiga dasar yang memberi identiti terhadap satu makhluk yang bernama manusia; akal, emosi, dan nafsu. Manusia itu mulia, kerana mereka hidup beriring dengan tiga teras utama ini sedang penciptaan makhluk lain tidak sama. Malaikat diciptakan dengan akal dan emosi tanpa nafsu. Haiwan diciptakan dengan emosi dan nafsu tanpa akal.

 

 

Malaikat, apabila diberikan pilihan kepada mereka untuk memilih cantik atau hodoh, kaya atau miskin, mereka akan serahkan bulat-bulat pada Allah. Kerana mereka tidak punya keinginan untuk menjadi cantik atau kaya, tidak seperti manusia. Malaikat itu apabila diciptakan dengan wajah bengis yang menjaga neraka, mereka akur. Tanpa nafsu.

 

 

Haiwan, apabila melakukan perkara yang tidak munasabah atau kejam, memakan anaknya sendiri, mempunyai skandal yang ramai tanpa setia pada yang satu, mereka tidak akan diberikan dosa dan pahala. Kerana mereka makhluk yang tidak punya ilmu untuk membeza dan memilih atas keterbatasan sifat teras yang memang disebatikan kepada mereka. Tanpa akal.

 

 

Manusia lain. Tersangat lain. Diciptakan manusia dengan keinginan, dengan beriringan kesediaan akal untuk menimbang berat kepentingan memilih untuk patuh atau meninggalkan permintaan nafsu. Kita ambil contoh, solat. Manusia boleh memilih untuk melakukan perintah Allah atau meninggalkan perintah Allah.

 

 

Kemuliaan itu adalah, melangkaui keinginan makhluk untuk derhaka dan meninggalkan suruhan Allah, mereka tetap memilih untuk taat. Atas dasar apapun ketika jiwa itu teringin untuk tunduk pada nafsu yang malas atau sengaja leka, mereka tetap memaksa diri demi mendaulatkan zat yang paling agung.

 

 

Sebaliknya, apabila manusia lebih memilih keinginan sendiri melebihi keinginan Tuhan, mereka adalah makhluk yang hina. Tidak ada mahkluk yang lebih hina dari mereka yang diberikan akal untuk menilik betul salah sesuatu perkara, namun tetap mahu memberi makan pada nafsu. Untuk apa akal, jika ianya mengangkat angkuh?

 

 

Iblis adalah makhluk yang paling mudah untuk kita jadikan contoh. Kerana ilmu, kerana dia tahu perbezaan darjat antara api dan tanah, dia lebih memilih keinginanannya untuk tetap tegak ketika yang lainnya sujud. Sedang dia tahu kekuasaan dan pengetahuan Allah yang terlalu kuat dan dalam. Dengan pengetahuan yang begitu, sehingga hari ini dia tetap bermusuh dengan Tuhannya sendiri.

 

 

Menyedihkan. Namun itulah hakikatnya ketika kita memilih angkuh.

 

 

Akal, apabila digunakan untuk memberi hak pada Tuhan, makan mulialah kewujudan pemilik akal. Namun ketika dia memilih untuk memeluk keinginan sendiri, maka kewujudan haiwan yang tidak tahu berfikir adalah lebih mulia. Kerana ia adalah makhluk yang patuh, walau tanpa akal yang menuntunnya menjulang arahan Allah.

 

 

Tepuk dada. Tanyakan mata hati. Tanyakan mata jiwa. Apakah anugerah akal ini sedang membina kemuliaan atau kehinaan kita? Apakah hari ini, ketika kita berdiri, kita sedang memilih Tuhan sebagai tujuan yang selalu kita mahu tuju? Apakah kesukaran yang sedang kita lalui, apakah akal kita tidak mampu melawan kedatangannya?

 

 

Semoga Tuhan selalu membantu kita.






No comments:

Post a Comment

Drops your comment here ~

Suka untuk aku tekankan, komen hendaklah yang membina dan perlu menggunakan bahasa yang baik. Terima kasih atas kerjasama dan sokongan anda!