Kita berkongsi, kerana di akhirnya semuanya bernilai di sisi Tuhan.

Moga tidak terlalu mengarut.



Thursday, 17 September 2020

Menyukat Kemuliaan Akal

Akal bukan yang pertama menjadi syarat kemuliaan makhluk. Ianya bukan satu syarat sah mulia kerana akal meninggikan keangkuhan Iblis ketika dia melawan Tuhan untuk tunduk pada satu ciptaan yang direka khas dari lumpur, sedang dia adalah api. Ilmunya tegas meningkah bahawa dia lebih tinggi, lebih layak diangkat.

 

 

Kita bentangkan sifat manusia yang paling teras, berdiri di tiga dasar yang memberi identiti terhadap satu makhluk yang bernama manusia; akal, emosi, dan nafsu. Manusia itu mulia, kerana mereka hidup beriring dengan tiga teras utama ini sedang penciptaan makhluk lain tidak sama. Malaikat diciptakan dengan akal dan emosi tanpa nafsu. Haiwan diciptakan dengan emosi dan nafsu tanpa akal.

 

 

Malaikat, apabila diberikan pilihan kepada mereka untuk memilih cantik atau hodoh, kaya atau miskin, mereka akan serahkan bulat-bulat pada Allah. Kerana mereka tidak punya keinginan untuk menjadi cantik atau kaya, tidak seperti manusia. Malaikat itu apabila diciptakan dengan wajah bengis yang menjaga neraka, mereka akur. Tanpa nafsu.

 

 

Haiwan, apabila melakukan perkara yang tidak munasabah atau kejam, memakan anaknya sendiri, mempunyai skandal yang ramai tanpa setia pada yang satu, mereka tidak akan diberikan dosa dan pahala. Kerana mereka makhluk yang tidak punya ilmu untuk membeza dan memilih atas keterbatasan sifat teras yang memang disebatikan kepada mereka. Tanpa akal.

 

 

Manusia lain. Tersangat lain. Diciptakan manusia dengan keinginan, dengan beriringan kesediaan akal untuk menimbang berat kepentingan memilih untuk patuh atau meninggalkan permintaan nafsu. Kita ambil contoh, solat. Manusia boleh memilih untuk melakukan perintah Allah atau meninggalkan perintah Allah.

 

 

Kemuliaan itu adalah, melangkaui keinginan makhluk untuk derhaka dan meninggalkan suruhan Allah, mereka tetap memilih untuk taat. Atas dasar apapun ketika jiwa itu teringin untuk tunduk pada nafsu yang malas atau sengaja leka, mereka tetap memaksa diri demi mendaulatkan zat yang paling agung.

 

 

Sebaliknya, apabila manusia lebih memilih keinginan sendiri melebihi keinginan Tuhan, mereka adalah makhluk yang hina. Tidak ada mahkluk yang lebih hina dari mereka yang diberikan akal untuk menilik betul salah sesuatu perkara, namun tetap mahu memberi makan pada nafsu. Untuk apa akal, jika ianya mengangkat angkuh?

 

 

Iblis adalah makhluk yang paling mudah untuk kita jadikan contoh. Kerana ilmu, kerana dia tahu perbezaan darjat antara api dan tanah, dia lebih memilih keinginanannya untuk tetap tegak ketika yang lainnya sujud. Sedang dia tahu kekuasaan dan pengetahuan Allah yang terlalu kuat dan dalam. Dengan pengetahuan yang begitu, sehingga hari ini dia tetap bermusuh dengan Tuhannya sendiri.

 

 

Menyedihkan. Namun itulah hakikatnya ketika kita memilih angkuh.

 

 

Akal, apabila digunakan untuk memberi hak pada Tuhan, makan mulialah kewujudan pemilik akal. Namun ketika dia memilih untuk memeluk keinginan sendiri, maka kewujudan haiwan yang tidak tahu berfikir adalah lebih mulia. Kerana ia adalah makhluk yang patuh, walau tanpa akal yang menuntunnya menjulang arahan Allah.

 

 

Tepuk dada. Tanyakan mata hati. Tanyakan mata jiwa. Apakah anugerah akal ini sedang membina kemuliaan atau kehinaan kita? Apakah hari ini, ketika kita berdiri, kita sedang memilih Tuhan sebagai tujuan yang selalu kita mahu tuju? Apakah kesukaran yang sedang kita lalui, apakah akal kita tidak mampu melawan kedatangannya?

 

 

Semoga Tuhan selalu membantu kita.






Monday, 7 September 2020

Dosa Paling Aneh

Paling aneh apabila kita bertemu sesuatu perkara, bertemu beberapa situasi, adalah dengan mengetahui bahawa ianya berada di titik makruh, haram, atau dosa. Sedangkan hanya bertemu dengan si dia. Sedangkan hanya berpegangan tangan. Sedangkan hanya mengambil dua ringgit, lima ringgit, sepuluh ringgit.

 


Sedangkan ada yang lebih besar dan lebih teruk kesalahan yang perlu diambil perhatian dan dititik beratkan. Seperti kezaliman contohnya, yang doa-doa orang teraniaya sentiasa dijawab oleh Tuhan bahkan jika peminta dan pengemisnya adalah orang kafir yang langsung tidak pernah memandang Allah.

 


Pertanyaan ini membuatkan kita terfikir sedetik dua. Kenapa? Apa kepentingannya kita mendalami makna dosa sedangkan salah silap yang kita lakukan langsung tidak menyentuh manusia lain. Langsung tidak memberi impak negatif kepada masyarakat atau kepada negara. Kerana sesungguhnya kita bukanlah tidak langsung berakal untuk tahu di mana batas dosa.

 


Soalnya, adakah benar anggapan kita?

 


Renungkan dosa yang paling tidak masuk akal dikatakan sebagai dosa. Kita maklum, sejarah terlalu sering membentangkan kepada kita berkenaan dosa pertama yang pernah dilakukan oleh manusia. Setiap kita terlalu sering pula mendengar waktu demi waktu berkenaan dosa yang satu ini. Dosa memakan buah.

 


Jika kita lihatkan kembali. Mengapa? Ada apa dengan sebiji buah? Mengapa ianya menjadi dosa yang cukup besar sehingga makhluk yang paling mulia dijatuhkan hukumannya ke dunia? Renung dan fikirkan apakah hikmah dan kepentingannya sehingga bapa kita menangis dan merayu Tuhannya untuk mengampunkan dosanya memakan sebiji buah?

 


Jawapannya sangat lurus dan tegas. Kerana ianya larangan terus dari Tuhan. Allah sudah melarang, kita harus taat dan tunduk pada larangan Allah. Seiring waktu, ilmu yang berkaitan akan merungkai sebab dan hikmahnya. Hari ini, ketika kita masih dungu dan tidak tahu, Tuhan mahu melihat sejauh mana kepercayaan kita pada Pemilik Segala Ilmu.

 


Adakah kita mahu mendengar suruhan Allah? Adakah kita mahu meninggalkan larangannya? Adakah kita mahu hidup berpaksikan ilmu kita semata-mata? Ataukah kita mahu mempercayai Allah bahawa Dia akan memberikan satu jalan yang cukup baik dan menjaga kesejahteraan kita dalam jangka masa yang tersangat panjang?

 


Hingga akhir waktu kasih sayang Tuhan. Adakah kita bersedia taat dan tunduk pada suruhan dan larangan yang terkadang tidak boleh difahami oleh akal dan munasabah zaman? Menutup aurat, ketinggalan zaman. Menjaga ibu bapa, menyusahkan. Menyantuni anak yatim, mengapa tidak salurkan dana kepada manusia yang lebih mampu membalas sumbangan yang diberikan?

 


Pengajian yang pertama dari Tuhan, dengan tulus dan cinta demi mengajarkan satu ilmu yang tersangat sakti. Mengajarkan syariat taubat kepada bapa kita, Nabi Ada AlaihisSalam. Dengan taubat, manusia akan berhenti di satu perbatasan dan menahan diri untuk melangkah ke daerah dosa seterusnya. Dengan taubat, manusia akan mengkoreksi diri dan mencuba untuk kembali mahu tunduk dengan pengajaran Tuhannya.

 


Semoga kita kekal mahu bersaksi bahawa Allah itu Tuhan, dan Muhammad itu pesuruh-Nya.






Terima kasih kerana membaca.